24 September 2012

TIGA GELOMBANG PEMBAHARUAN DALAM PENDIDIKAN

TIGA gelombang pembaharuan yang bertujuan meningkatkan prestasi sistem pendidikan negara ditetapkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun bermula tahun depan hingga 2025. Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menjelaskan, menerusi Gelombang Pertama membabitkan tahun pelaksanaan 2013 hingga 2015, sasaran diletakkan bagi menambah baik kualiti pendidikan negara supaya setanding dengan pencapaian purata global. Menurut laporan itu, sepanjang pelaksanaan gelombang itu, Kementerian Pelajaran menentukan tiga bidang tumpuan iaitu menambah baik pengajaran di bilik darjah, meningkatkan kepimpinan kementerian dan sekolah serta meningkatkan kecekapan guru bahasa Inggeris. "Hal ini tidak bermakna inisiatif perubahan akan menumpukan perhatian kepada tiga bidang berkenaan sahaja malah terdapat inisiatif yang memberikan tumpuan kepada isu lain seperti penambahbaikan kurikulum dan peningkatan infrastruktur. "Bagaimanapun, tiga bidang itu dipilih sama ada ketiga-tiganya merupakan pemacu utama bagi menambah baik kualiti guru dan pengetua atau kerana keperluan bagi keseluruhan aspirasi ekonomi negara (bahasa Inggeris)," jelas laporan tersebut. Bagi Gelombang Kedua (2016-2020), laporan berkenaan memberitahu, kementerian akan melaksanakan perubahan dari segi struktur untuk mempercepat langkah perubahan dengan perancangan bagi semua inisiatif akan bermula semasa gelombang pertama. Perancangan itu termasuk menggerakkan semua 410,000 orang guru dan 10,000 pengetua atau guru besar kepada pakej kerjaya baru selain menstruktur dan menjajarkan pejabat Persekutuan, negeri serta daerah terhadap fungsi baru. Ini bagi membolehkan pejabat berkenaan membantu sekolah dan memperkenalkan kurikulum sekolah menengah yang baru dan kurikulum sekolah rendah yang disemak dalam menangani isu mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk berkembang maju di persekitaran ekonomi global masa kini. Sementara itu laporan itu menyebut, semasa awal Gelombang Ketiga (2021-2025) pula, semua sekolah, guru dan pengetua seharusnya menunjukkan prestasi yang lebih tinggi daripada standard minimum. "Oleh itu, kementerian akan menumpukan perhatian kepada peningkatan keluwesan operasi untuk menyemai budaya pemimpin rakan sebaya ke arah kecemerlangan profesional. Kementerian juga akan menggerakkan kebanyakan sekolah, jika tidak semuanya, ke arah model pengurusan berasaskan sekolah dan menambah model inovasi pengajaran yang berjaya. "Matlamatnya adalah untuk membentuk suatu sistem tadbir urus kendiri yang mampu membuat pembaharuan dan membawa pencapaian ke tahap lebih tinggi," tambah laporan itu. Jelas laporan itu, kementerian menyedari kepentingan serta kesegeraan dalam melaksanakan tugasan yang sedang dijalankan dan untuk itu, kementerian akan mula mengambil tindakan awal dalam beberapa bidang kritikal. "Sebahagian besar daripada tindakan awal itu akan menjadi asas perubahan dramatik pada masa depan. Bagaimanapun kementerian juga menyedari keperluan menghasilkan pencapaian dengan kadar segera dan konsisten bagi membina dan mengekalkan momentum transformasi. "Dalam 12 bulan yang akan datang, kementerian mempunyai kesungguhan untuk melaksanakan perubahan dan mendapatkan hasil seperti semua 70,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa dan syarat pengambilan guru diperketat selain semua 10,000 sekolah rendah dan menengah kebangsaan akan mendapat liputan internet 4G melalui pelaksanaan 1BestariNet," jelas laporan berkenaan.

KURIKULUM BAHARU MULAI 2016

KEMENTERIAN Pelajaran akan melaksanakan kurikulum persekolahan baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah - Semakan Semula (KSSR) mulai 2016 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017 dalam usaha melonjak sistem pendidikan negara. Kurikulum baru itu dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid dan pelajar yang dilahirkan oleh sistem persekolahan di negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global. Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum. Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata. Ini kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat. Pelaksanaan kurikulum baru ini pula akan melalui tiga fasa iaitu gelombang satu (2012-2015) iaitu fasa persediaan, gelombang kedua (2016-2020) iaitu fasa pelaksanaan dan gelombang ketiga (2021-2025) iaitu fasa pentaksiran. Menurut Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebagai persiapan sebelum memperkenalkan kurikulum baru itu kementerian akan memurnikan kurikulum sedia ada dan mempergiatkan sokongan kepada guru bagi meningkatkan sistem penyampaian. "Kementerian sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan kedua-dua aspek kurikulum baru ini, untuk itu gelombang pertama transformasi pendidikan akan memberi tumpuan kepada inisiatif jangka pendek. "Ia bagi memastikan kurikulum bertulis, kurikulum yang diajar dan kurikulum pentaksiran dapat ditambah baik selain meletakkan asas kepada perubahan fundamental sebelum gelombang kedua dan ketiga dilaksana dan dikaji semula untuk melihat tahap pencapaian," jelas laporan itu.




18 September 2012

MINGGU SAINS SK SUNGAI DURIAN 2012





Tarikh : 18 - 21 September 2012
Hari : Selasa - Jumaat

Tema : Pemulihara Penyu dan Alam Sekitar

07 September 2012

PEPERIKSAAN PENGESANAN BULAN SEPTEMBER 2012

Adalah dimaklumkan peperiksaan Pengesanan Bulan September 2012 akan diadakan serentak dengan peperiksaan UPSR 2012. Semua murid tahun 3 hingga tahun 5 diharap bersedia sepenuhnya. Jadual peperiksaan adalah seperti yang berikut :

Selasa (11.09.2012)

Bahasa Melayu Pemahaman - 8.10 - 9.00 pg
Bahasa Melayu Penulisan - 9.30 - 10.45 pg
Matematik Kertas 2 (tahun 4 dan 5 sahaja) - 11.30 - 12.10 tgh

Rabu (12.09.2012)

Matematik Kertas 1 - 8.10 - 9.10 pg

Khamis (13.09.2012)

Sains - 8.10 - 9.25 pg
Bahasa Inggeris 1 - 9.50 - 10.50 pg
Bahasa Inggeris 2 - 11.30 - 12.45 tgh

02 September 2012

PERUBAHAN TARIKH GANTI PERSEKOLAHAN HARI SABTU - 22 SEPTEMBER 2012

Adalah dimaklumkan bahawa tarikh ganti persekolahan hari Sabtu bagi sekolah-sekolah di negeri Perak yang telah diluluskan Cuti Berganti pada 17 Ogos 2012 (Jumaat) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya dijalankan pada 22 September 2012 (Sabtu) dipinda kepada 29 September 2012 (Sabtu).
Pindaan tersebut terpaksa dilakukan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Pada tarikh berkenaan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran hendaklah dijalankan sepenuhnya dengan menggunakan jadual waktu hari Jumaat.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, pihak tuan boleh menghubungi Hj. Ahmad Faisal Zakaria, Penolong PPD Perhubungan dan Pendaftaran di talian 019-5711527.

Sekian, terima kasih.

E-KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN