13 July 2010

Aksi akrobatik latih otak





NASREEN MA, 32, memegang erat kedua-dua tangan anaknya, Alicia, dengan kedudukan si comel itu bersandar pada tubuhnya sementara kepalanya pula ke bawah. Hujung kedua-dua kaki Alicia terpaut kemas pada bahu ibunya itu. Dalam satu pergerakan pantas, kaki Alicia dilepaskan lalu badan anak kesayangannya itu kembali dalam kedudukan tegak.

Bagaikan baru saja selesai melakukan aksi jungkir balik, Alicia kini membuat lagak 'ngeri' yang seterusnya. Hujung kedua-dua kaki dan tangannya dipegang dengan bantuan seorang ahli terapi. Dalam keadaan tergantung melintang itu, Alicia dihayun dari kiri ke kanan selama dua minit.

Melihat aksi-aksi yang menyerupai latihan gimnastik itu memang cukup menyeramkan. Namun begitu, kanak-kanak yang baru berusia dua tahun itu pula langsung tidak takut atau menangis. Dia sebaliknya gembira dengan aktiviti itu sambil tersenyum dan sesekali ketawa terkekeh-kekeh.

Itu bukan pertama kali dia diajar melakukan pergerakan mencabar seumpama itu. Sejak berusia lapan bulan, Alicia sudah pun diajar oleh Nasreen untuk berbuat demikian.

Menurut Nasreen, semasa berusia lapan bulan Alicia seperti bayi lain yang menunjukkan respons asas seperti menggerak tangan, kaki dan kepala serta peka terhadap bunyi dan warna.


DAYA (kanan) dan Nasreen melakukan pergerakan asas kepada Alicia untuk perkembangan otak.


"Ketika berada dalam fasa meniarap, Alicia semakin menunjukkan tanda-tanda untuk berdiri dan mengatur langkah pertama. Perbuatannya itu amat membimbangkan saya kerana dia langsung tidak cuba untuk merangkak sebelum berjalan.

"Sungguhpun ada ibu bapa yang teruja melihat anak mereka cepat berjalan, tetapi bagi saya ia sesuatu yang luar biasa," ujar Nasreen.

Baginya, lumrah seseorang bayi ialah mereka perlu merangkak sebelum tahu berjalan. Nasreen percaya, jika bukan begitu turutannya perkembangan otak bayi boleh terjejas. Fasa merangkak kata Nasreen, amat penting kerana integrasi asas untuk perkembangan daya penglihatan kedua-dua belah mata sedang berlaku.

Integrasi visual itulah yang akan membantu proses pembacaan, kosentrasi dan tumpuan di dalam bilik darjah.

Menyedari kepentingan proses merangkak itu, ibu muda itu lantas mendapatkan nasihat dan panduan daripada pakar terapi Neuro Network, Daya Bhagwandas, 52.

Pengasas pusat pengajaran pendidikan saraf yang kini berpangkalan di Burwood, Australia itu menyediakan perkhidmatan patologi pertuturan, audiologi dan terapi bunyi. Berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang perkembangan otak dan neuron, Daya banyak mengadakan program untuk menyedarkan para ibu bapa tentang potensi kepintaran anak-anak mereka.

Nasreen memberitahu, anak sulungnya itu telah menjalani beberapa sesi latihan pergerakan di bawah penyeliaan Daya. Alicia dibaringkan di atas meja sambil menggerak tangan, kaki serta kepala secara serentak.

Sesi latihan


KANAK-KANAK lain mungkin ngeri dengan aksi sebegini tetapi tidak Alicia.


Terapi yang dikenali sebagai cross pattern itu lama-kelamaan membuatkan Alicia merangkak dengan sendiri. Difahamkan, Alicia telah merangkak selama enam bulan sebelum berjalan.

Tambah Nasreen, kebanyakan ibu bapa terutama yang baru berkahwin kurang peka pergerakan asas seseorang kanak-kanak. Pergerakan asas yang betul amat penting demi mencetuskan kecerdasan anak-anak. Anak-anak sebenarnya pantas memahami dan mempelajari setiap yang diajar oleh ibu bapa mereka.

Penjelasan wanita itu memang benar. Selain membuat aksi pergerakan mencabar pada usia yang terlalu muda, kebolehan anak kecil itu membaca nombor melalui kepingan kad dengan cetakan berbentuk bulat amat mengagumkan.

Menurut Nasreen, berbanding bentuk numerikal, permainan kad dengan cetakan geometri berwarna lebih efektif untuk mengajar anak-anak tentang pengiraan. Ia merangsang visual kanak-kanak dan perkembangan minda terutamanya pada otak bahagian kanan.

Menjelaskan tentang perkembangan otak dan pembelajaran otak kanan, Daya berkata, otak manusia bagaikan satu sistem komputer rumit yang dikawal oleh dua bahagian.

Kedua-dua bahagian itu mempunyai kemahiran dan cara berfikir yang berbeza. Bahagian kanan otak memproses maklumat dengan cepat, melewati ruang dimensi fizikal dan membuat tanggapan tepat. Otak kiri pula memproses dengan cara yang berbeza tetapi dalam bentuk lisan yang lebih kompleks atau berbentuk analisa.

Dominasi otak

"Pada asasnya, manusia berfikir menggunakan keseluruhan otak. Bagaimanapun, satu bahagian daripadanya lebih menguasai atau mendominasi. Semasa berfikir misalnya, otak seumpama bercakap sendiri," katanya.

Jelas Daya, satu bahagian akan lebih mendominasi untuk mengeluarkan kata-kata atau memberi arahan. Bahagian yang mendominasi akan merancang personaliti hidup seseorang manakala bahagian yang sebelah lagi memberi respons terhadap tekanan atau krisis.


ALICIA (kanan) menunjukkan kebolehannya membaca nombor melalui kepingan kad dengan cetakan bulat.


"Amat menguntungkan jika seseorang berusaha untuk mengembangkan kedua-dua bahagian otak kerana ini akan menambahkan lagi maklumat dalam menyelesaikan masalah.

"Jika anda dapat menguasai proses dominasi otak kiri dan memperkembangkan otak kanan pasti boleh menjadi seorang yang lebih kreatif dan bijak," kata wanita yang telah memperkenalkan Neuro Network sejak enam tahun yang lalu di beberapa buah negara luar termasuk Malaysia, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Ujar Daya, ketika kecil seseorang amat bergantung kepada fungsi otak kanan yang merangsang imaginasi dan visual. Sebab itu, kanak-kanak cenderung mengaju soalan-soalan yang di luar imaginasi ibu bapa. Mereka juga mampu bercakap seberapa banyak bahasa hanya melalui mendengar percakapan seseorang.

Kesemua itu boleh dilakukan disebabkan fungsi otak kanan. Antaranya memori fotografi, mendengar dan baca dengan pantas, kreativiti, muzik, seni dan kemampuan mempelajari banyak bahasa.

Bagaimanapun, dari alam sekolah sehingga dunia kerjaya, ramai yang hanya menekankan pada kemampuan otak kiri.

"Program pendidikan di Neuro Network menekankan tentang kepentingan melatih otak kanan. Bagaimanapun, perkembangan otak itu perlu diberi perhatian dari peringkat bayi sehingga ia berusia enam tahun.

Apabila proses koordinasi gagal berlaku secara sempurna maka seseorang akan mengalami masalah apabila dewasa. Di sini pergerakan merangkak memainkan peranan penting.

Daya memberi penekanan tentang fasa merangkak: "Jikalau seseorang anak tidak melalui proses merangkak dengan sempurna maka proses koordinasi akan menjadi lemah hingga boleh menimbulkan masalah penglihatan, sentuhan, tumpuan, keseimbangan badan dan pernafasan.

Dalam pada itu, programnya juga turut menekankan tentang proses visual ataupun imaginasi yang terdapat pada otak kanan. Kebolehan visual membantu kanak-kanak mempelajari sesuatu dengan lebih cepat dan gembira. Kemahiran visual yang baik amat penting untuk mempelajari mata pelajaran seperti Matematik, Sastera dan bahasa.


Kosmo Online

E-KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN