04 August 2010

Sabah & Sarawak: Ancaman buaya

Sabah & Sarawak: Ancaman buaya
Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/08/05

PEKERJA ladang sering menjala  ikan di Sungai Kinabatangan walaupun mengetahui serangan budaya tembaga boleh berlaku secara tiba-tiba.
PEKERJA ladang sering menjala ikan di Sungai Kinabatangan walaupun mengetahui serangan budaya tembaga boleh berlaku secara tiba-tiba.38 serangan babitkan 23 maut di tiga sungai

KOTA KINABALU: Walaupun kurang mendapat perhatian, konflik antara buaya dan manusia dilaporkan sudah lama berlaku di Sabah dan sepanjang 10 tahun lalu, Jabatan Hidupan Liar Sabah merekodkan 38 kes serangan reptilia itu dengan kebanyakannya berlaku di beberapa sungai di pantai timur negeri ini.
Antara lokasi utama ialah Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan, Sungai Silabukan dan Sungai Kalumpang.
Daripada 38 serangan dilaporkan, 23 kes menyebabkan kematian mangsa, manakala selebihnya mendatangkan kecederaan.

Sebagai usaha mengenal pasti puncanya, bengkel antarabangsa selama tiga hari mengenai konflik antara buaya dengan manusia diadakan di Sabah, baru-baru ini bagi menghasilkan resolusi yang boleh diguna pakai, selain melindungi spesies buaya tembaga di negeri ini.

Antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada perkara itu ialah pencemaran dan pembangunan yang mungkin menyebabkan gangguan terhadap sumber makanan serta habitat asal buaya, lantas menjadikan manusia sebagai pilihan terakhir.

Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pembukaan ladang secara besar-besaran menyebabkan hidupan liar di hutan seperti monyet terpaksa berpindah atau mati, seperti ikan di sungai terjejas dilanda pencemaran kesan pembangunan.
"Apabila itu berlaku, buaya tidak mempunyai sumber makanan dan hidupan yang ada di tebing sungai atau ladang adalah manusia. Malah, kita mendapati kawasan ladang paling kerap berlaku serangan kerana buaya tidak mempunyai sumber makanan," katanya.

Sehubungan itu, strategi jangka panjang diperlukan bagi melindungi buaya supaya manusia tidak menjadi sasaran.

Tuuga berkata, faktor seperti pembersihan tanah di tebing sungai, penggunaan bahan kimia di ladang dan pembuangan sisa organik adalah antara punca kekurangan sumber makanan buaya, menyebabkan apa saja yang ada di tebing sungai menjadi habuan.

"Penduduk di luar bandar Sabah masih menggunakan sungai sebagai sumber utama mendapatkan air untuk mencuci, memasak, mandi dan menangkap ikan. Justeru, mereka berpotensi diserang buaya," katanya.

Populasi buaya tembaga di Sabah dianggar dalam 12,000 hingga 15,000 ekor ketika ini.

Reptilia itu dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Rekod Jabatan Hidupan Liar Sabah mendapati, kira-kira 200 buaya diburu setiap bulan di pantai timur negeri seabad lalu dengan kerajaan British memberi ganjaran sehingga 1932.

Kerancakan aktiviti memburu buaya berleluasa hingga kerajaan negeri mewujudkan perlindungan melalui undang-undang pada 1982 kerana bimbang hidupan itu diancam kepupusan.

Tuuga berkata, penduduk kampung yang masih menggunakan sungai sebagai sumber utama air perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa serangan buaya.

"Sebagai langkah pencegahan, kita mencadangkan kerajaan menyediakan bantuan air paip kepada penduduk kampung yang belum mendapat bekalan itu," katanya.

Pengerusi Kesatuan Antara Pemulihan Alam Semulajadi (IUCN) SSC Crocodile Specialist Group, Profesor Grahame Webb, mengakui cabaran besar dalam usaha memulihara buaya air masin yang saiznya boleh mencapai enam meter dan berat mencecah satu tan.

"Apabila populasi buaya berkurangan, langkah perlindungan perlu dilakukan tetapi ia mesti diimbangi dengan persediaan berdepan kemungkinan jika bilangannya meningkat," katanya.

Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Abdul Hamid Ahmad berkata pencemaran sungai yang berpunca dari pembangunan atau pembukaan tanah tidak terancang memberi kesan negatif kepada sungai termasuk populasi buaya.

"Justeru, kita perlu melakukan kajian berterusan dalam usaha pemuliharaan buaya, selain memantau aspek pencemaran sungai di seluruh negeri," katanya

E-KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN