22 June 2010

Kementerian teliti maklum balas

PUTRAJAYA: Proses pelantikan guru boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan, cekap dan pantas sekiranya perkongsian maklumat dari segi data pelatih antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) diperkemaskan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui perkongsian itu, calon yang sudah lulus kursus perguruan tidak perlu lagi dilantik sebagai guru sandaran terlatih, sebaliknya boleh terus dilantik sebagai guru tetap.
“Dengan cara ini, kerajaan bukan saja dapat menjimatkan kos dan masa, tetapi juga memberikan status perjawatan yang lebih baik kepada guru yang sudah dilatih,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Mengulas mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Muhyiddin berkata, kementerian tidak menetapkan sebarang tempoh untuk melaksanakan cadangan itu, tetapi pihaknya memerlukan masa yang secukupnya untuk meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak.
“Saya belum menetapkan tempoh sama ada sebulan atau dua (bulan), tapi kita akan mengambil masa yang sesuai beritahu keputusan,” katanya.

Harian Metro Online

E-KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN