24 June 2010

Sekolahku Hebat!

PROGRAM kanak-kanak, Tom Tom Bak dan Geng Bas Sekolah membuktikan berjaya meraih sambutan menggalakkan daripada penonton. Ini sekali gus melonjak saluran Astro Ceria (saluran 611) diminati ramai khususnya kanak-kanak.

Dalam mengisi senarai program menarik untuk tontonan, saluran ini turut menganjurkan pertandingan Sekolahku Hebat! Pertandingan ini yang terbuka pada murid sekolah berusia 12 tahun ke bawah, perlu menghantar penyertaan yang menggambarkan kelebihan sekolah mereka sendiri.


Produser merangkap pengarah, Mohamad Fadzly Aminaldun berkata sambutan diterima daripada pelajar untuk turut serta dalam pertandingan ini cukup memberangsangkan. Sejak penyertaan ditutup pada 14 Mei lalu, seramai 150 penyertaan diterima.


"Menerusi pertandingan ini, pelajar perlu menyatakan lima perkara unik atau menarik mengapa sekolah mereka adalah terbaik. Selepas diteliti penyertaan yang dihantar, kami mengenal pasti 12 murid bertuah dipilih.


"Mereka diberi peluang mengacara depan kamera apabila kru pertandingan datang ke sekolah. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka tampil sebagai wakil sekolah yang berkongsi perkara menarik mengenai sekolah sendiri kepada penonton," katanya.


Fadzly berkata, rakaman 12 murid bertuah ini dijadikan program berkonsep filler yang mengambil masa selama satu minit. Ia akan disiarkan bermula 23 Ogos nanti.


"Buat masa ini, dua rakaman sudah dijalankan termasuk murid darjah lima, Nurul Syahidah Shaiful Azmi dari Sekolah Kebangsaan Damansara Damai. "Di samping rakaman bersama pelajar bertuah ini, Astro Ceria turut membawakan aktiviti bersama pelajar lain yang dikendalikan dua pengacara, Azrul bersama Zoey.


"Sambil berceloteh, pelajar juga diberi peluang mengadakan persembahan seperti nyanyian dan tarian. Aktiviti seperti ini menjadi program julung kali yang diadakan secara on-ground.


"Saya percaya menerusi program seperti ini, ia juga memberi peluang pada kanak-kanak muncul di TV. Mungkin, jika ada yang berbakat, pertandingan ini boleh dijadikan proses uji bakat mencari mereka untuk dibawa sertai program seperti Tom Tom Bak ," katanya.


Antara 10 sekolah lain yang terpilih adalah Sekolah Kebangsaan Cyberjaya, Sekolah Seri Cahaya, Real Education, Setia Alam, Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Sekolah Kebangsaan Sungai Rengit, Pengerang, Johor, Sekolah Kebangsaan Perempuan Cina (Tanjung Bungah), Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil (Nibong Tebal), Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani, Kedah, Sekolah Mahkota Sari Gerik, Perak, Sekolah Indera Mahkota Utama, Kuantan dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu.

MyMetro Online

E-KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN