05 June 2010

Pengetua atur cuti Sabtu guru

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mencadangkan guru besar dan pengetua mengeluarkan takwim serta mengatur jadual guru dengan terancang supaya pelaksanaan cuti dua kali Sabtu sebulan dapat dilaksanakan seperti ditetapkan pekeliling Kementerian Pelajaran.

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata hanya perancangan teratur akan menjamin pelaksanaan cuti dua kali Sabtu itu berjalan lancar dan sebaiknya guru terbabit dimaklumkan lebih awal.
Katanya, beliau tidak mahu perkara berkenaan hanya tertulis sebagai pekeliling saja tetapi tidak dapat dipraktik dan guru terus menerima bebanan tugasan yang banyak. “Kita harap dengan adanya pekeliling itu, tiada pihak lain seperti Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengambil kesempatan untuk melaksanakan program atau kursus pada Sabtu yang sepatutnya menjadi waktu rehat guru. Apa yang penting, hal berkaitan sekolah dan pelajar perlu diutamakan berbanding program peringkat PPD,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kelmarin mengenai usaha terbaru Kementerian Pelajaran mewajibkan guru besar dan pengetua memberikan guru dua kali Sabtu setiap bulan untuk mengurangkan beban tugas mereka.

Katanya, guru besar dan pengetua tidak boleh memaksa guru bertugas pada setiap Sabtu untuk aktiviti kokurikulum dan akademik bagi memberi ruang kepada mereka berehat.

Sabri berkata, beliau berpendapat pemberian cuti dua kali Sabtu setiap bulan itu memberi kebaikan kepada sekolah yang mempunyai dua sesi yang menggunakan bangunan sekolah yang sama.
“Pemberian cuti itu akan memudahkan guru di sekolah dua sesi merancang jadual mereka dan bagi sekolah satu sesi kita harap dengan pemberian cuti dua kali Sabtu itu tidak timbul lagi guru bertugas sehingga 4.30 petang selepas memulakan tugas seawal 7.30 pagi,” katanya.

“Sepatutnya dengan adanya cuti pada Sabtu, guru boleh merancang aktiviti kokurikulum dan akademik dengan lebih sistematik dan mereka boleh pulang awal kerana tidak perlu melaksanakan aktiviti selepas waktu pengajaran,” katanya.

Kelmarin, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, meminta semua pengetua dan guru besar supaya akur dengan surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran itu.

Katanya, tindakan segelintir pengetua dan guru besar yang memaksa guru mereka mengajar kelas tambahan pada setiap hari Sabtu hanya merugikan pihak sekolah dan guru itu sendiri.


Berita Harian Online

E-KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN