30 March 2011

Laporan Abdul Rahman Arshad



Laporan Abdul Rahman Arshad telah mengemukakan perakuan kepada kerajaan pada bulan Ogos 1996. Laporan ini dibahagikan kepada empat kelompok:-
  • Skim Perkhidmatan dan Prospek Kenaikan Pangkat
  • Beban Tugas Pengurusan, Pengajaran dan Pembelajaran
  • Insentif dan Kebajikan
  • Kemudahan dan Prasarana
Terdapat 82 perakuan yang bernas yang dikemukakan oleh Jawatankuasa ini.Jawatankuasa ini telah bertemu dan berbincang dengan semua kesatuan guru dan badan profesional yang telah diadakan di merata tempat di Malaysia. Mereka juga telah membuat penyiasatan dan pengkajian tentang keadaan di bandar, di luar bandar dan di kawasan pedalaman.

YB Dato' Sri Najib bin Tun Abdul Razak harus dipuji kerana telah melaksanakan beberapa perakuan Laporan Abdul Rahman Arshad (LARA) ini. Perakuan ini telah memberikan nafas baru kepada Perkhidmatan Pendidikan.

Menteri Pendidikan Baru YB Senator Tan Sri Dato' Seri Musa bin Mohamad harus memberikan perhatian yang serius dan melaksanakan perakuan-perakuan lain. Janganlah terlalu menumpukan perhatian kepada Pengajian Tinggi sahaja sehingga melupakan akar umbi kita.

KPPK yakin bahawa Tan Sri Rahman Arshad yang merupakan seorang pendidik negara pasti mempunyai pengalaman yang banyak selaku bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Sebahagian daripada perakuan itu benar-benar untuk penyelesaian masalah yang dihadapi oleh guru-guru. Kita harus membaca serta memahami Perakuan LARA. Kita yakin bahawa sebahagian besar perakuan itu akan dapat menyelesaikan "penyakit tua" dalam sistem pendidikan Malaysia.

KPPK telah menerima jaminan daripada Kementerian Pendidikan bahawa perakuan-perakuan itu akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan. Tetapi kini nampaknya, perakuan-perakuan Rahman Arshad seolah-olah telah dibekukan.

Banyak perakuan yang akan membawa nafas baru kepada profesion perguruan terkandung dalam Laporan ini termasuk perakuan tentang kelas tambahan, beban guru, peruntukan kewangan, PJJ, Jawatan Kritikal dll.

Janganlah biarkan Laporan Rahman Arshad ini juga menemui ajalnya seperti laporan-laporan lain. Janganlah kita sekali lagi membuktikan bahawa kita hanya pandai menyediakan laporan tetapi tidak mampu melaksanakan perakuan-perakuan laporan kerana takut kepada realiti.

Sumber:
~Berita Perkhidmatan Cikgu Net http://www.oocities.org/pendidikmy/berita/isu15.html

E-KAUNTER PERKHIDMATAN PELANGGAN